ALOR SETAR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan ketibaan seramai 5,000 pelancong antarabangsa pada tahun ini menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, sasaran seramai 5,000 pelancong antarabangsa ke pulau itu dijangkakan dapat membantu menjana pendapatan berjumlah RM24.4 juta.

"Persediaan bagi pembukaan Langkawi kepada pelancong antarabangsa ini dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Negeri Kedah dan LADA. Ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) COVID-19 akan dilakukan terhadap pelancong yang tiba ke pulau ini.

"Pemantauan persiapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) juga telah dilakukan dan pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) Langkawi telah menyediakan prosedur khas bagi memastikan segalanya berjalan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata prosedur khas itu bertujuan mengelakkan kesesakan sekali gus melancarkan proses penerimaan pelancong antarabangsa berkenaan di balai ketibaan.

Nasaruddin berkata, tiada hotel khusus dipilih sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pada masa ini, namun Jabatan Kesihatan negeri telah menggariskan ciri-ciri bilik hotel yang sesuai digunakan jika berlakunya kes positif dalam kalangan pelancong yang tiba di Langkawi.

"Setakat ini, sebanyak 118 bilik telah dikenal pasti dari 20 hotel yang sesuai digunakan sebagai PKRC bagi menempatkan pelancong antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Nasaruddin berkata LADA akan mengadakan perbincangan bersama pihak Qatar Airways bagi membincangkan penerbangan terus dari Doha ke Langkawi.

"Tiada penerbangan terus dari destinasi luar negara hari ini. Namun, ada pelancong antarabangsa yang akan tiba melalui penerbangan transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Langkawi tetapi jumlah pelancong yang bakal tiba tidak dapat dipastikan lagi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi Gelembung Pelancongan Domestik pula, ia menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah ketibaan pelancong seramai 77,939 orang dan jumlah pendapatan sebanyak RM80.3 juta.

-- BERNAMA