LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yakin sasaran yang ditetapkan bagi kemasukan pengunjung ke Langkawi pada tahun 2022 iaitu sebanyak 2.5 juta orang mampu dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib, menjelaskan keyakinan itu didorong data kemasukan pelancong setakat Julai yang melepasi jumlah 1.3 juta termasuk lebih 200,000 pengunjung pada bulan Julai.

Tambahnya, beberapa acara peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang akan diadakan di Pulau Langkawi juga mampu dijadikan platform untuk mencapai sasaran berkenaan.

"Pada ketika ini kita telah mencapai lebih 1.3 juta pelancong, kita berada di landasan yang baik untuk capai 2.5 juta (yang ditetapkan), (ini kerana) kerana mulai bulan September, Oktober hingga akhir tahun (ini), lebih banyak event atau acara peringkat antarabangsa, ketika ini kita ada sembilan acara peringkat antarabangsa, yang akan berjalan dan 12 acara peringkat kebangsaan yang diadakan di sini.

"Dengan adanya acara ini, saya percaya kedatangan pelancong akan lebih ramai, bermula bulan September hingga hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Lestari Langkawi di Dewan Kompleks LADA, Kuah hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nasaruddin menyatakan bahawa pihaknya turut merencana pelbagai program berbentuk kelestarian dalam mengekalkan status Langkawi sebagai antara Pulau Terbaik di Asia Tenggara.

Ianya termasuklah sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri dalam menjadikan pulau peranginan itu sebagai Pulau Rendah Karbon selain menjadi pelopor dalam penggunaan kenderaan elektrik.

"Kita mendokong usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Langkawi sebagai 'low carbon island', kita sedang merangka pelan tindakan yang kita ambil untuk jadikan Langkawi sebagai low carbon island menjelang tahun 2035, walau bagaimanapun hasrat itu perlu dimulakan sekarang,

"Disamping itu kita juga akan menggalakkan pengurangan plastik dan polistren di Langkawi supaya kita dapat mengawal dan mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan di sini," katanya lagi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa LADA turut meletakkan sasaran untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau mesra orang kelainan upaya (OKU) dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Mengakui wujud kelompongan yang ada terhadap kemudahan terhadap OKU di pulau itu, Nasaruddin menyatakan ianya akan diteliti dan ditambah baik dari semasa ke semasa.