Lagi ADUN di Selangor disahkan positif COVID-19

Ridauddin Daud
Oktober 5, 2020 14:43 MYT
Menerusi Facebook rasmi beliau, Shatiri berkata isteri dan dua anaknya turut disahkan dijangkiti virus berkenaan. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Shatiri Mansor merupakan ADUN kedua dari Selangor yang disahkan positif COVID-19 pada Isnin.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau, Shatiri berkata isteri dan dua anaknya turut disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Menurutnya, beliau dan dua anaknya akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan manakala isterinya sudah dimasukkan lebih awal selepas disahkan positif pada 30 September lepas.
Tambahnya, sebaik pulang dari Sabah pada 27 September, beliau dan tujuh lagi kakitangan Pusat Khidmat DUN Kota Damansara diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
Begitupun, mereka diarahkan untuk menjalani saringan kedua pada 2 Oktober selepas isteri Shatiri disahkan positif.
Sumber Facebook Shatiri.KD
Astro AWANI pada Isnin melaporkan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada Isnin mengesahkan beliau didapati positif COVID-19.
Yi Wei yang melakukan kuarantin kendiri di rumah selepas kembali dari Sabah pada 27 September lepas, berkata hasil ujian saringan COVID-19 kedua diperoleh hari ini mendapati beliau positif.
"Saya sebelum ini menjalani saringan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan dipakaikan gelang merah jambu.
“Pada 30 September, saya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya untuk mengetahui keputusan saya," katanya dalam satu kenyataa.
BACA: ADUN Kampung Tunku pula disah positif COVID-19
Sebelum itu, negara digemparkan dengan berita Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi pemimpin negara terbaharu yang disahkan positif COVID-19.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook peribadinya, Dr Zulkifli berkata, beliau kini sedang menjalani rawatan.
BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari mengikut nasihat KKM.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, berkata, keputusan itu diambil susulan Zulkifli disahkan positif COVID-19 hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya pada 3 Oktober lalu dan Dr Zulkifli merupakan salah seorang yang menghadiri sesi berkenaan.
#Muhyiddin Yassin #ADUN #Kota Damansara #positif #kes baru #KKM #SOP #Sabah #Sabah Memilih #Pilihan Sabah #pilihan raya #Putrajaya #Perdana Menteri #Majlis Keselamatan Negara #MKN #ADUN Kota Damansara #Shatiri Mansor #KLIA2 #COVID-19