KUALA LUMPUR: Selepas seorang kanak-kanak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 29 kondominium di Jalan Ipoh dekat sini, semalam, hari ini, kejadian sama berulang apabila kanak-kanak berusia lima tahun terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Batu Caves.

Sumber memberitahu, dalam kejadian pagi tadi, mangsa bersama adiknya yang berusia empat tahun dipercayai berada dalam jagaan ibu saudara mereka.

"Bagaimanapun, mangsa disyaki terjatuh ketika ibu saudaranya sedang berada dalam bilik air.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, BH melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat sebuah katil di tepi tingkap.

"Ketika kejadian, mangsa dalam jagaan ibu saudaranya. Kita percaya mangsa terjatuh daripada tingkap kediaman mereka.

"Siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis daerah Gombak," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

BACA: Kanak-kanak perempuan 4 tahun maut jatuh tingkat 29 kondominium

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian jam 2.41 petang itu, mangsa dipercayai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh bapanya yang keluar membeli barang, dalam keadaan pintu berkunci.