Akhirnya spesifikasi terperinci bagi Mazda MX-5 generasi terbaharu sudahpun keluar. Memang sudah lama ditunggu, dan bagi mereka yang sudah lama menanti mari kita terus menelitinya.
Mazda MX-5 terkini ini bertujuan untuk mengembalikan falsafah ‘Jinba Ittai’ atau ‘penunggang dan kuda bersatu’ yang telah hilang pada generasi ke-3 model ini (dikenali sebagai NC). Model terkini ini bukan sahaja akan mengembalikan keseronokan memandu, tetapi juga menerapkan sekali teknologi Skyaktiv dan rekaan Kodo – Soul of Motion.
Konsep Skyaktiv adalah sangat penting bukan sahaja kerana ia mementingkan alam sekitar dan keselamatan penumpang, tetapi juga kerana ia berkisar mengenai pengurangan berat. Ini adalah antara sebab kenapa kereta ini adalah sehingga 100kg lebih ringan dari sebelumnya.
Rekaan
Direka sebagai roadster yang seronok dipandu, tumpuan juga diberi untuk memberi kereta ini rupa yang menawan – dan sepertimana generasi yang pertama (dikenali sebagai NA), ia juga mempunyai bumbung yang boleh dilipat.
Pengurangan berat kereta ini banyak dicapai dengan penggunaan aluminium yang tinggi; ini termasuk untuk bahagian bonet dan boot, fender hadapan serta juga bampar (depan dan belakang). Bahkan komponen suspensi termasuk upper dan lower arm, sokongan hab, dan juga bingkai enjin.
Usaha-usaha tambahan untuk merendahkan lagi berat termasuk membuang permukaan pada komponen dalam cara yang tidak kompromikan kekuatan yang ada.
Sekarang bukan sahaja MX-5 terbaharu ini mempunyai berat yang lebih kurang sama dengan model generasi pertama, tetapi juga dikecilkan berbanding generasi sebelum ini (NC). Misi untuk mendapatkan saiz yang kompak membawa hingga panjang keseluruhan yang kurang daripada model NA iaitu 3,915mm. Ukuran-ukuran lain adalah seperti berikut, dan dibandingkan dengan MX-5 generasi NC.
Ukuran/Model | MX-5 NC | MX-5 ND |
Wheelbase | 2,330 | 2,315 (-15) |
Panjang | 3,990 | 3,915 (-75) |
Lebar | 1,720 | 1,730 (+10) |
Tinggi | 1,245 | 1,235 (-10) |
Dinamik Pemanduan
Enjin yang dipasangkan pada MX-5 ND adalah pilihan diantara 1.5-liter ataupun 2.0-liter Skyaktiv yang ditala khas untuk roadster ini. Pilihan kotak gear pula adalah antara manual 6-kelajuan ataupun automatik 6-kelajuan.
Agak degil pula pihak Mazda, kerana mereka masih belum mendedahkan output sebenar enjin-enjin ini. Yang diberikan adalah angka yang didapati daripada objektif mereka – iaitu 129hp pada 7,000rpm dan 150Nm pada 4,800rpm. Ini hanya untuk enjin 1.5-liter; tiada pula anggaran untuk enjin 2.0-liter. Kesemua kuasa diberikan kepada roda-roda belakang berukuran 195/50R16.
Berbeza dengan sangkaan awal kami, tiada pilihan enjin yang dipasang pengecas turbo.
Unit stereng menggunakan bantuan kuasa elektrik (electric steering).
Suspensi hadapan menggunakan double wishbone dan di belakang pula adalah multi-link.
Bila dilihat kembali, rasa-rasanya macam banyak lagi yang belum diceritakan oleh Mazda. Sebagai sebuah roadster yang direka untuk mengembalikan keseronokan memandu sepertimana yang begitu terkenal diberikan oleh model NA asal, yang paling penting untuk diketahui adalah sama ada ini telah dicapai.
Yang itu mungkin masih agak jauh lagi sebelum dapat disahkan.