KUALA TERENGGANU: Seekor penyu spesies agar jantan dewasa ditemukan mati dalam keadaan terapung di perairan Pulau Kapas, di Marang pada pukul 11 pagi tadi, menjadikannya kematian ke-10 direkodkan di Terengganu sejak 3 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Ruzaidi Mamat berkata penyu berukuran 80 sentimeter (cm) panjang dan 69cm lebar itu dipercayai mati akibat lemas terperangkap pada pukat.

"Bangkai haiwan itu telah ditanam di Pulau Kapas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kematian penyu pertama dilaporkan di Terengganu pada tahun ini ialah pada 3 Jan di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman, diikuti dua penyu agar betina dewasa di dua lokasi berasingan iaitu di Pelabuhan Chendering, di sini dan Pantai Seberang Takir, di Kuala Nerus pada 12 Jan.

Kematian keempat dan kelima pula dilaporkan serentak pada 13 Jan, juga di dua lokasi berasingan iaitu anak penyu agar di Pulau Kerengga, Marang dan penyu agar jantan dewasa di Paka.



PENYU-MATI 2 (AKHIR) KUALA TERENGGANU



Seterusnya, kes kematian keenam dan ketujuh berlaku di Pantai Batu Buruk, di sini dan Pantai Seberang Takir, di Kuala Nerus melibatkan dua penyu agar jantan dewasa pada 14 Jan, manakala kematian kelapan berlaku pada 18 Jan di Kijal dan kematian kesembilan dilaporkan pada 20 Jan di Pantai Kemasik.

Beliau menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi hotline 'Fishcom' di talian 03-88885019 atau 03-88704058 yang beroperasi 24 jam, sekiranya menemukan penyu hidup atau mati terdampar di pantai.

Sementara itu, aktivis pemuliharaan penyu Rani Awang, 56, berkata siasatan terperinci perlu dilakukan Jabatan Perikanan bagi mengenal pasti punca kematian haiwan itu yang berlaku berturut-turut dalam tempoh singkat.

"Banyak program pemuliharaan penyu telah dilakukan sebelum ini termasuk oleh badan bukan kerajaan (NGO) demi memastikan kelestarian khazanah marin itu dan ia terbukti berjaya berdasarkan data pelepasan anak penyu yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Namun, agak malang apabila kadar kematiannya di laut turut meningkat dan kami golongan aktivis mahu ia disiasat secara serius agar dapat mencegahnya daripada terus berulang," katanya yang mengasaskan Konservasi Penyu Marang.

-- BERNAMA