Lagu Negaraku akan berkumandang di 70 pawagam seluruh negara bermula 30 Ogos hingga 16 September depan sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Selain lagu Negaraku, tiga lagi promo terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan turut ditayangkan adalah Sajak Merdeka, Jalur Gemilang dan Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, berkata inisiatif itu secara tidak langsung mewujudkan penglibatan rakyat bagi menyemarakkan semangat patriotik.

Pada masa sama, program itu juga merupakan kelangsungan daripada program sama yang telah diadakan tahun lalu.

"Ini merupakan tahun kedua kita mainkan lagu Negaraku dan promo sempena Hari Merdeka di dalam pawagam.

"Tahun lepas semuanya berjaya. Tidak ada yang mengadu, tidak ada yang tidak mematuhinya malahan ada yang marah kalau ada orang yang tak berdiri," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penayangan Lagu Negaraku dan Promo Kemerdekaan di Pawagam serta Penyiaran Dokumentari di Astro Prima di Cathay Cineplexes, Ecurve, Mutiara Damansara pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi FINAS, Datuk Md. Afendi Hamdan dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh.

Tambah Shabery, antara pawagam yang akan menjayakan program tersebut adalah Cathay Cineplexes, TGV Cinemas, Golden Screen Cinema, Lotus Five Stars Cinemas dan MBO Cinemas.

Selain promo Merdeka di pawagam, terdapat juga 10 Dokumentari Kemerdekaan yang bakal ditayangkan bermula 30 Ogos hingga 16 September ini.

Dokumentari yang berkisar patriotik serta kisah pejuang kemerdekaan itu akan bersiaran di slot #kitasama menerusi saluran Astro Prima siaran 105.