KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, yang ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 sejak Selasa lalu meninggal dunia pagi tadi.

Pemergian Allahyarham Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu disahkan oleh isteri beliau, Datin Seri Normilah Siong.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia sekitar jam 6.23 pagi tadi di Hospital KPJ, Kota Kinabalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Klias, Datuk Isnin Aliasnih yang juga saudara terdekat Lajim, jenazah Allahyarham kini dalam perjalanan ke Kampung Kabatu, Beaufort.

"Setakat ini, 12.15 tengah hari, jenazah dalam perjalanan dan difahamkan di Membakut. Kurang 30 minit Insha-Allah akan sampai ke sini.

"Bagi pihak keluarga terima kasih atas doa seluruh rakyat Malaysia dan Sabah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Berita sedih mengenai pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu turut dikongsi bekas Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki.

"Dukacita dimaklumkan Ybhg Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin baru saja menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ sebentar tadi.

"Jenazah akan dibawa balik ke Kg Kabatu Beaufort selepas proses KKM selesai. Tetima kasih atas doa anda semua," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pagi tadi.


 
Sumber Facebook samin.ongki


Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kabatu, Beaufort untuk disemadikan.

“Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Selasa lalu, Lajim Ukin dilaporkan ditidurkan selepas keadaan kesihatannya dikatakan merosot akibat dijangkiti virus COVID-19.

BACA: Lajim Ukin kini ditidurkan akibat jangkitan COVID-19 - Sumber

Untuk rekod, Lajim, 66, yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort dimasukkan ke Hospital KPJ selepas disahkan positif COVID-19 ketika mendapatkan rawatan kerana kurang sihat sekembalinya dari lawatan kerja kerajaan negeri di Kudat pada 12 Ogos lalu.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008-2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009-2012.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort pada 2009-2012 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias pada 2013-2016.

Beliau pernah menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2013-2016 semasa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).