KUALA LUMPUR: Kalangan perniagaan perlu bertindak melaksanakan langkah pencegahan penipuan yang menyeluruh, terutama dalam menghadapi jenayah kewangan yang kian sofistikated, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, ini berikutan penjenayah terbabit beroperasi merentasi sempadan selain mengeksploitasi kaedah globalisasi dan teknologi bagi kepentingan sendiri selain mencabuli undang-undang negara.

"Ciri-ciri jenayah kewangan yang semakin transnasional itu bermakna dana daripada aktiviti-aktiviti haram berkenaan dapat bergerak memasuki struktur lebih kompleks, mendalam dan pantas yang menyukarkan usaha pengesanan atau menjejakinya," katanya ketika menyampaikan ucap tama pada program tahunan Minggu Kesedaran Penipuan (FAW) edisi keenam Kenanga Investment Bank di sini, hari ini.

FAW secara maya pada tahun ini bertemakan 'Penegasan Daya Tahan Etika dan Moral Bagi Tadbir Urus Baik,' dan sejajar dengan penekanan komitmen serta keyakinan Kenanga terhadap kaitan nilai-nilai etika dan moral dalam membangunkan tadbir urus berkesan.

Pada masa sama, ini juga dapat membentuk budaya korporat dalam konteks pengawalseliaan yang pesat berkembang sepertimana dialami sekarang.

Mengulas selanjutnya, Abdul Wahid berkata, minat ketara dan permintaan terhadap transaksi dalam talian susulan pandemik COVID-19, hanya meningkatkan lagi jenayah siber melibatkan teknologi baharu sepertimana ancaman semasa yang merupakan sesuatu yang asing sedekad lepas.

Beliau turut memetik laporan pihak polis mengenai rakyat negara ini yang mengalami kerugian RM2.23 bilion akibat jenayah siber bagi tempoh 2017 hingga Julai 2021.

Sejumlah 20,000 kes berasingan direkodkan pada 2021 yang melibatkan kerugian bernilai RM560 juta manakala lebih daripada 11,000 kes jenayah siber dilaporkan di Malaysia bagi tempoh Januari-Julai 2022.

Abdul Wahid turut menegaskan bahawa kemungkinan kadar penipuan ini meningkat seiring dengan perkembangan globalisasi, pasaran lebih kompetitif, aspek teknikal yang lebih maju serta peningkatan tempoh atau masa.

Sementara itu, ketika berkongsi pandangan sama, Pengerusi Kenanga Tan Sri Syed Zainol Anwar Jamalullail berkata kekerapan ramai menggunapakai transaksi digital itu hanya meningkatkan lagi peluang untuk berlakunya penipuan serta risiko proses digital yang menjurus ke arah salah laku tersebut.

"Oleh itu, adalah penting bagi perniagaan untuk memastikan keselamatan serta sekuriti platform digital dalam usaha mendapatkan keyakinan orang ramai," katanya ketika menyampaikan ucap tama.

Syed Zainol turut menegaskan kepentingan perniagaan untuk menggunapakai sistem pengurusan yang cekap serta selamat di platform masing-masing yang dapat membantu membina kepercayaan orang ramai, sekali gus menggalakkan penerimaan oleh pihak awam atau platform digital.

Pada masa sama, beliau menekankan mengenai keutamaan mendidik orang ramai mengenai ancaman penipuan baharu dan yang ketara.

"Walaupun perniagaan dijangka mengemas kini dan meningkatkan langkah keselamatan, ini masih belum cukup untuk mencegah semua penipuan kewangan.

"Aspek peringatan dan peningkatan kesedaran misalnya tidak hanya mengukuhkan lagi keperluan untuk sentiasa berwaspada tetapi akan turut mewujudkan keadaan yang membolehkan semua lebih peka terhadap risiko serta bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan antara satu sama lain," katanya.

-- BERNAMA