KUALA LUMPUR: Laluan Batang Kali - Genting Highlands Seksyen 14, Hulu Selangor, yang ditutup sejak 16 Dis lepas ekoran tragedi tanah runtuh akan dibuka semula pada 5 petang ini dengan kawalan pihak berkuasa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan semalam memaklumkan laluan sementara akan dibuka satu lorong sahaja dan terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

Menurut JKR, pengguna yang menggunakan laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh.

"Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan," menurut kenyataan itu.

JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam - Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur - Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.

BACA: Jalan Batang Kali - Genting diperbesarkan, dibuka semula bulan hadapan

BACA: Ramai kecewa Jalan Batang Kali-Genting ditutup setahun

BACA: Tanah runtuh Batang Kali: Jalan sehala sudah siap, akan dibuka segera

BACA: Pengusaha hotel di Batang Kali, pekerja Genting Highlands resah jalan ditutup setahun

Orang awam boleh menghubungi JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641146, 03-60641058 dan 03-60641073 untuk sebarang pertanyaan.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

-- BERNAMA