KUALA SELANGOR: Jejantas pejalan kaki yang mengalami rekahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang di Seksyen 484.6, Laluan Persekutuan 5, Jalan Klang-Sabak Bernam ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selama dua hari bermula Selasa.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, Ir Hafidzan Idris berkata, penutupan jalan itu bermula jam 11 malam Selasa hingga 6.30 pagi Khamis.

Menurut beliau, penutupan jalan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menurunkan rasuk jejantas.

"Pengguna diminta untuk mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hafidzan berkata, bagi kenderaan berat boleh melalui laluan alternatif Jalan Sungai Terap-Jalan Raja Musa-Jalan Rawang.

"Kenderaan ringan boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Bukit Belimbing," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan pengguna kenderaan diminta berhati-hati berikutan terdapat rekahan pada jejantas pejalan kaki di hadapan SMK Pengkalan Permatang di Laluan Persekutuan 5 di sini.

Pejabat JKR Kuala Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas tersebut disebabkan hentaman daripada kenderaan berat.


Artikel asal di Sinar Harian