Laluan pantai timur, utara pilihan orang ramai sempena cuti minggu depan

Sahlizah Mohamed
Februari 2, 2019 04:36 MYT
Laluan pantai timur dan utara merupakan antara destinasi utama yang menjadi pilihan orang ramai sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina pada minggu depan.
Tinjauan Astro AWANI di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sejak pukul 9 pagi pada Sabtu mendapati jumlah penumpang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, keadaan di terminal itu masih terkawal di samping tahap keselamatan yang lengkap di seluruh tempat.
Pengurus Operasi Kanan TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, tiket bas sempena perayaan Tahun Baru Cina mula dijual sejak awal Januari.
“Tiket laluan ke Kota Bharu, Kelantan; Terengganu, Ipoh, Perak; Pulau Pinang, Butterworth dan Alor Setar, Kedah antara destinasi pilihan utama penumpang,” katanya.
Tambah Faizal, sebanyak 18 syarikat bas turut menyediakan perkhidmatan bas tambahan ekoran permintaan tinggi.
Antaranya ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar dan Johor Bahru dengan purata 267 perjalanan tambahan sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, berdasarkan beberapa temu bual dengan penumpang bas di TBS, rata-rata mereka membeli tiket sejak beberapa minggu lalu.
Ia bagi mengelakkan kehabisan tiket untuk menuju ke destinasi masing-masing.
Seorang pekerja swasta, Chua Wan Chin memberitahu dia membeli tiket untuk pulang ke Masjid Tanah, Melaka pertengahan bulan lalu.
#Alor Setar #Astro Awani #balik kampung #keselamatan #Kota Bharu #Kuala Terengganu #operasi #Pantai Timur #Tahun Baru Cina