Pengundi berkemungkinan tidak akan lagi melihat lambang roket Parti Tindakan Demokratik (Dap) pada hari pengundian 5 Mei ini.

Ini berikutan langkah parti tersebut untuk menggunakan simbol Parti Islam Semalaysia (Pas) di Semenanjung Malaysia dan simbol Parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak seandainya Pertubuhan Pendaftaran (ROS) tidak membatalkan surat penolakan pengiktirafan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti tersebut.

Setiausaha Agung Parti Dap, Lim Guan Eng berkata pimpinan parti sudahpun memberi tempoh sehingga jam 3 petang ini (Jumaat) untuk membatalkan surat tersebut.

“Kegagalan berbuat demikian akan membolehkan Dap mengarahkan 53 calonnya yang bertanding di kerusi parlimen dan 103 di Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negeri bernaung di bawah simbol PAS di Semenanjung Malaysia manakala simbol PKR di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu sidang media Khamis.

Pada Khamis Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman berkata pendaftaran Dap sehingga kini masih tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada PRU-13 dan siasatan berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang lalu masih diteruskan.