Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim hari ini menyarankan satu gerakan pemutihan dilancarkan bagi mengesan jumlah sebenar senjata api dimiliki orang awam.

Beliau berkata langkah itu dapat membendung kemasukan senjata api tidak berlesen di negara ini, sekali gus mengelak kebanjirannya.

"Dengan adanya gerakan tersebut, kerajaan akan dapat mengesan jumlah sebenar senjata api awam berlesen dan yang tidak berlesen.

"Kita isytiharkan berapa banyak yang ada dalam negara dan kalau ia lebih daripada jumlah yang sebenar, bererti selebihnya adalah tidak berlesen," katanya selepas majlis penutup program Mahasiswa Turun Parlimen Muar, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penemuan banyak senjata api oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno berkata kebanjiran senjata berbahaya berlaku atas banyak sebab termasuk ada kaitannya dengan kegiatan rasuah dan penyeludupan.