HULU TERENGGANU: Langkah kerajaan mengimport ayam sejuk beku bukan untuk menekan mana-mana pihak sebaliknya bertujuan memberi pilihan kepada pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, inisiatif itu bagi menstabilkan harga supaya pengguna tidak terjejas dan peniaga tidak rugi.

Menurutnya, walaupun menerima pelbagai reaksi namun ia lebih tertumpu ke arah mengimbangi harga ayam di pasaran.

"Kita terpaksa melambakkan dengan cara mengimport ayam dari luar. Memang kita mendapat rungutan daripada pengusaha dan pemain industri berkaitan dengan hal tersebut.

"Cuma, kita rasa, dalam 200 kontena ini tidak akan lama berada dalam pasaran. Niat kerajaan ialah untuk menstabilkan harga, bukan hendak ganggu pasaran," katanya.

Beliau ditemui ketika hadir pada program Jualan #Keluarga Malaysia Parlimen Hulu Terengganu di sini semalam.

Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan kebenaran untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022.

Katanya, kerajaan memberi kebenaran mengimport bertujuan menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran dan ia melibatkan pertimbangkan import sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Pada masa sama, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum ayam pada kadar RM9.30 di Semenanjung dan RM8 bagi harga borong, kecuali di Langkawi, Kedah.

Harga ayam standard di pulau peranginan itu ditetapkan pada harga RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).