KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar tarif elektrik di beberapa negara Asia telah mendorong kerajaan Malaysia untuk bertindak melaksanakan langkah bagi melindungi pengguna daripada impak langsung susulan kenaikan harga.

Pada 24 Jun lepas, kerajaan telah mengumumkan untuk mengekalkan surcaj tarif elektrik sebanyak 3.7 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) bagi pengguna bukan domestik manakala rebat 2 sen/kWj dikekalkan bagi pengguna domestik.

Berikutan itu, kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM5.8 bilion.

Malah, ahli ekonomi berpendapat keputusan kerajaan untuk tidak melepaskan kadar surcaj lebih tinggi kepada pengguna juga dapat melegakan ramai, termasuk perniagaan secara keseluruhannya.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata keputusan kerajaan itu adalah seiringan dengan jangkaan pasaran dalam usaha menyokong penuh industri selain meningkatkan lagi keyakinan ekonomi yang didorong oleh permintaan domestik yang mantap untuk memastikan unjuran trajektori keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal kukuh.

"Malaysia masih merupakan sebuah negara yang amat berpatutan di rantau ini," katanya kepada Bernama.

Data daripada https://www.globalpetrolprices.com bagi Disember 2021 menunjukkan harga elektrik di Malaysia adalah kompetitif pada kadar US$0.05/kWj untuk isi rumah dan US$0.088/kWj untuk perniagaan yang melibatkan semua komponen bil elektrik seperti kos tenaga, pembekalan dan cukai.

Dari segi perbandingan misalnya, purata harga elektrik dunia bagi tempoh tersebut adalah US$0.14/kWj bagi isi rumah dan US$0.133 untuk perniagaan.

Menurut Shan, laporan itu menyatakan bagi tempoh itu juga, harga elektrik untuk perniagaan di beberapa negara ASEAN berbanding Malaysia seperti Indonesia adalah lebih rendah pada US$0.075/kWj namun lebih tinggi di Thailand pada US$0.105/kWj, Filipina pada US$0.123/kWj dan Singapura pada US$0.158/kWj.

Di Singapura, syarikat berkaitan kerajaan yang juga pembekal elektrik dan gas, SP Group, telah mengumumkan bahawa tarif elektrik bagi isi rumah akan meningkat pada purata 8.1 peratus atau 2.21 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga September tahun ini berbanding suku sebelumnya.

Dalam kenyataan pada minggu lepas, ia berkata kenaikan itu terutamanya disebabkan peningkatan kos tenaga yang lebih tinggi, didorong kenaikan harga gas dan minyak global akibat konflik di Ukraine.

Berikutan itu, tarif elektrik akan meningkat daripada 27.94 kepada 301/7 sen/kWj dengan purata bil elektrik bulanan bagi keluarga yang menginap di rumah pangsa empat bilik HDB akan bertambah sebanyak 8.25 dolar Singapura sebelum dicampur dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus.

Sementara itu di Indonesia, utiliti tenaga negara tersebut, Perusahaan Listrik Negara (PLN) akan menaikkan tarif elektrik untuk kali pertama dalam tempoh lima tahun iaitu tarif bagi isi rumah dengan kapasiti tenaga 3,500 watt ke atas akan meningkat sebanyak 17.6 peratus/kWj manakala tarif bagi bangunan kerajaan akan meningkat dalam kadar 17.6 peratus dan 36.6 peratus, bergantung kepada keadaan bangunan.

Menurut pegawai kanan Kementerian Tenaga Indonesia, Rida Mulyana, kenaikan bermula 1 Julai itu, termasuk bagi isi rumah dengan kapasiti 3,500 watt dan ke atas, hanya akan menjejaskan isi rumah berpendapatan sederhana dan ke atas serta bangunan kerajaan selain dijangka meningkatkan kadar inflasi Indonesia bagi 2022 sebanyak 0.019 mata peratusan.

Selain itu di Taiwan, Kementerian Hal Ehwal Ekonominya turut mengumumkan kenaikan kadar elektrik pada purata 8.4 peratus dengan kira-kira 22,000 pengguna perindustrian besar bakal berdepan kenaikan kadar tenaga sebanyak 15 peratus.

Bagaimanapun, bil elektrik bagi kedai kecil, pengguna dalam kapasiti rendah dan semua sekolah tidak akan dinaikkan manakala pengguna elektrik di kediaman dengan kapasiti penggunaan kurang daripada 1,000/kWj yang membabitkan kira-kira 97 peratus isi rumah juga tidak terjejas.

"Namun, kediaman dengan penggunaan melebihi 1,001/kWj akan membayar lebih daripada sembilan peratus," kata kementerian itu.

Di Korea Selatan, kerajaannya pada 27 Jun lepas telah memutuskan untuk meningkatkan kadar elektrik sebanyak lima won Korea/kWj pada suku ketiga susulan lonjakan mendadak harga bahan api seperti gas asli cecair (LPG) dan arang batu.

Kadar elektrik di negara itu telah lama tidak berubah biarpun terdapat peningkatan mendadak kos bahan api dan Korean Electric Power Corp dibenarkan untuk menaikkan kadar itu sebanyak tiga won/kWj pada suku keempat tahun lepas yang juga kenaikan pertama sejak November 2013.

-- BERNAMA