Kerajaan mempertahankan langkah-langkah ekonomi yang diambil oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana biarpun langkah-langkah berkenaan tidak popular di kalangan rakyat.

Menurut jurucakap kerajaan, langkah-langkah itu perlu bagi mengekalkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia serta bagi meneruskan pertumbuhan kukuh pekerjaan dan pendapatan dalam tempoh empat tahun lalu.

"Bagi mengekalkan ekonomi Malaysia yang teguh, kita perlu mengawasi perbelanjaan awam. Itu bermakna meningkatkan beberapa kadar dan mengurangkan beberapa subsidi," kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Pejabat Perdana Menteri.

Antara langkah yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengurangkan subsidi beberapa barangan perlu termasuk minyak dan gula serta mengumumkan pengenalan Cukai Barangan dan Jualan (GST) yang akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015.

Rakyat juga pada masa bakal berdepan dengan tarif elektrik yang dijangka meningkat sehingga 15 peratus mulai tahun depan.

Menurut kenyataan itu, langkah-langkah yang bertanggungjawab itu turut didukung oleh institusi, pelabur dan agensi antarabangsa dan 52 peratus responden dalam satu tinjauan pendapat baru-baru ini memperakui tindakan Perdana Menteri.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang melawat Malaysia antara 4 hingga 16 Disember lalu adalah antara badan antarabangsa yang menyokong langkah-langkah kerajaan itu.

"Tidak seperti pembangkang, yang menjanjikan segala-galanya kepada semua pihak, kerajaan mengambil keputusan-keputusan yang sukar yang diperlukan untuk melindungi ekonomi Malaysia.

"Sesetengah langkah itu mungkin tidak popular sekarang tetapi untuk jangkamasa sederhana ia baik untuk ekonomi dan juga untuk rakyat," kata kenyataan itu lagi.

Bagi mengurangkan beban rakyat, kenyataan itu menyebut, kerajaan menyediakan bantuan tambahan kepada mereka yang memerlukan.

Lebih kurang 7.9 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan boleh memohon pembayaran skim bantuan itu mulai Isnin lepas.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan sedang membuka Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia bagi membantu mereka menghadapi kos barangan harian serta menyediakan perkhidmatan kesihatan mampu.