KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan (Mindef) berpandangan tiada keperluan untuk menukar lokasi penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), kerana Langkawi disifatkan paling sesuai dan strategik untuk penganjuran acara dwitahunan itu.

Memberitahu Dewan Negara menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemilihan Langkawi sebagai venue mengambil kira kemudahan seperti kawasan lapang untuk menempatkan pelbagai aset ketenteraan; ruang udara yang tidak sibuk; serta infrastruktur yang mencukupi.

Mengambil contoh LIMA 2023, Mohamad berkata ia merupakan terbesar dalam sejarah penganjuran sejak 1991, dengan disertai lebih 500 pempamer dan 14 negara di seluruh negara.

"LIMA baru-baru ini kita adalah lebih 100 buah kapal terbang untuk air pameran, aerobatik dan statik kapal terbang ketenteraan, komersial dan jet peribadi.

"Jadi kita memerlukan kawasan yang amat sesuai, dan kita tak boleh letak di kawasan mana lapangan terbang itu sibuk, dan terpaksa menutup ruang udara. Ini kerana pertunjukan aerobatik memerlukan kita menutup lebih kurang empat jam ruang udara. Ia akan menganggu lalu lintas penerbangan awam," katanya di Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu jika terdapat cadangan untuk LIMA diadakan di luar Langkawi memandangkan terdapat permintaan tinggi daripada rakyat di luar Langkawi selain mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke acara itu. 

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata kawasan laut di Langkawi juga mempunyai kedalaman yang sesuai dan pelabuhan yang terlindung.

"LIMA 2023 kita ada 61 kapal perang yang mengambil bahagian daripada 14 belas buah negara dan itupun kita terpaksa menolak tiga atau empat negara di saat akhir yang mahu mempamerkan kapal perang mereka.

"Kita terpaksa menolak kerana tempat tak ada untuk letakkan (aset) mereka.

"Selain itu, LIMA dianjurkan di Langkawi kerana mempunyai hotel yang mencukupi. Kita ada lebih kurang 15 hotel bertaraf antarabangsa dan itu pun tak cukup," kata lagi. 

Dalam masa sama, beliau berkata telah mengusulkan agar Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) diperbesarkan bagi menampung jumlah pempamer yang semakin bertambah daripada pelbagai negara.