PUTRAJAYA: Pengendali kenderaan teksi dan e-hailing yang sudah mencapai had usia 10 tahun perlu membuat permohonan semula bagi membolehkan pelanjutan tempoh maksimum 15 tahun.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan dasar baharu yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu, kerajaan membenarkan kenderaan yang berusia lebih 10 tahun, namun masih belum mencapai tempoh 15 tahun untuk kembali beroperasi.

"Pengendali kenderaan (teksi dan e-hailing) yang sudah mencapai tempoh lebih 10 tahun, mereka perlu membuat permohonan semula, saya jelaskan di sini, pelanjutan tempoh ini tidak semestinya membolehkan mereka terus memandu secara automatik, mereka perlu membuat permohonan semula.

"Selaras dengan pengumuman ini, had usia melesen akan dikemaskini kepada 14 tahun.

"Ini bermaksud mana-mana kenderaan yang hendak dilesenkan bagi tujuan teksi dan e-hailing mesti berbuat demikian sekurang-kurangnya setahun sebelum had usia 15 tahun," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut Anthony Loke berkata, kenaikan had usia terpakai ke atas semua kenderaan e-hailing di seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia merangkumi teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

Namun katanya, penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing adalah sentiasa tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala untuk memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat-syarat teknikal dan ciri-ciri keselamatan dilesenkan untuk beroperasi.

"Dengan pelaksanaan dasar baharu had usia 15 tahun ini, saya berharap beban di atas bahu para pemandu teksi serta e-hailing dapat diringankan serba sedikit khususnya untuk golongan pemandu yang amat terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dari tahun 2020 hingga tahun 2022.

"Sekiranya tempoh had usia dikekalkan pada 10 tahun, ramai pemandu terpaksa menanggung kos besar untuk membeli kendaraan yang baru dengan cara berhutang walaupun sumber pendapatan mereka masih tidak menentu," tambahnya.