Lapan hospital swasta di Sabah dikenal pasti jadi pusat pemberian vaksin - Dr Noor Hisham

Ruzaini Zulkepli
April 4, 2021 09:58 MYT
DR NOOR HISHAM: Kita telah kenal pasti lapan hospital swasta di Negeri Sabah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin. - Gambar fail
TUARAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti lapan buah hospital swasta untuk dijadikan pusat pemberian vaksin di negeri ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah meneliti perkara itu dan ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya yang mengadakan lawatan rasmi di Sabah dan meninjau fasiliti di Hospital Tuaran, hari ini, beliau menyifatkan kesiapsiagaan pusat-pusat pemberian vaksin serta kemudahan hospital adalah di tahap yang baik.
"Kita telah kenal pasti lapan hospital swasta di Negeri Sabah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin.
"Hospital Tuaran adalah salah sebuah hospital yang dijadikan pusat pemberian vaksin contohnya kepada kumpulan-kumpulan pesakit yang mendapatkan rawatan kimo dialasis dan tidak terkawal, berisiko tinggi akan diberi vaksinasi di hospital.
"Yang berisiko rendah akan diberikan vaksinasi di klinik kesihatan atau hospital swasta ini adalah cara dua kaedah membendung penularan Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Tuaran, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan pendaftaran vaksin di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menyeru supaya usaha mendaftarkan sebagai penerimaan vaksinasi itu dipertingkatkan.
Ia memandangkan kapasiti penduduk Sabah iaitu seramai 3.9 juta orang dengan hanya kira-kira 400,000 orang sahaja yang berdaftar setakat ini.
"Kita tingkatkan lagi pendaftaran vaksin dan kaedah kita mungkin bukan sahaja guna MySejahtera, kita turun padang, contohnya di masjid kalau boleh kita bantu bagaimana nak daftar guna MySejahtera. (Kaedah) yang lain guna kaedah atas talian ataupun telefon datang ke hospital, klinik kesihatan kita boleh bantu," katanya.
#pusat vaksinasi #vaksin #pandemik #COVID-19 #Sabah #hospital swasta #Ketua Pengarah Kesihatan #Noor Hisham Abdullah