SEGAMAT: Lapan lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 4 pagi ini, hari kedua tragedi banjir melanda daerah ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 27 PPS yang beroperasi setakat awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, bilangan mangsa banjir di daerah itu terus meningkat kepada 1,491 orang yang terdiri daripada 378 keluarga.

Jelasnya, berlaku peningkatan jumlah mangsa sebanyak 355 orang, berbanding 1,136 daripada 290 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS setakat jam 8 malam tadi.

"Sebanyak 27 PPS beroperasi sejak jam 4 pagi tadi, menempatkan 1,491 mangsa daripada 379 buah keluarga.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang masih merekodkan jumlah penempatan mangsa tertinggi dengan 267 orang daripada 73 keluarga.

"Ia diikuti PPS SK Batu Anam dengan 256 mangsa dari 70 keluarga, sementara PPS Dewan Serbaguna Logah merekodkan sejumlah 211 mangsa daripada 53 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, antara agensi yang terlibat dalam operasi penempatan mangsa banjir di Segamat ialah Pejabat Pegawai Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Rela.

"Turut terlibat, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memperhalusi operasi banjir di Segamat," tambahnya.

Vidyananthan turut memaklumkan, terdapat beberapa jalan di daerah itu yang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, manakala terdapat jalan yang hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja.