KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap Caprice.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua individu itu selesai diambil keterangan menerusi e-mel, pada pagi Rabu.

Keterangan mereka diambil berhubung laporan yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

"Memandangkan mereka masih lagi berada di luar negara, polis menghantar soalan-soalan kepada mereka pada 29 Ogos lalu dan menerima jawapan daripada kedua-dua individu itu, semalam.

"Buat masa ini, kita masih melengkapkan siasatan dan dijangka menyerahkannya kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman minggu depan.

"Selepas itu kita akan hantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.


Misi Gaza | Ebit Lew tampil jawab tuduhan

BACA: Laporan Ebit Lew, PDRM mohon bantuan Interpol kesan Nadir, Caprice

BACA: "Ini fitnah yang sangat kejam dan melampau" - Ebit Lew

Mengulas lanjut, Ashari memberitahu, pihaknya juga berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kedua-dua individu berkenaan setakat ini.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 21 Julai lalu, Ebit membuat laporan polis mendakwa dirinya telah difitnah dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin.