KUALA LUMPUR: Laporan kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat didedahkan kepada umum kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terikat dengan tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, laporan kesihatan bekas Perdana Menteri juga hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan oleh badan perundangan itu.

Kata Dr Noor Hisham, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan dan ini adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.

"Penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh pihak KKM dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah (atas perintah mahkamah).

"Namun, pada masa yang sama KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012)," katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, pada Khamis.


Sejak beberapa hari lalu, tersebar di media sosial dakwaan mengatakan layanan istimewa diberikan terhadap Najib yang dirujuk dengan nama 'Kod Merpati'.

Dakwaan itu antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib selain laporan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lalu dan Hospital Rehabilitasi Cheras semalam kerana masalah kesihatan.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.