PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 jika terdapat kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasa itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini masih lagi meneliti berhubung beberapa perkara dalam kes-kes tertentu melalui laporan berkenaan.

"Kita telah meneliti beberapa isu, cuma saya tak mahu sebut kes mana. Namun demikian, sekiranya bahagian siasatan kami mendapati ada isu perlu kita buka kertas siasatan, kita akan buka. Saya akan maklumkan kemudian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Ujarnya lagi, laporan Ketua Audit Negara itu memang menjadi perhatian umum setiap kali diumumkan dan SPRM perlu melakukan siasatan berdasarkan undang-undang yang dikuatkuasakan suruhanjaya itu. 

"Perlu diingatkan bahawa tugas kita ialah melihat kepada soal jenayah sesuatu perkara itu. Walaupun laporan itu menyebut kepada isu-isu ketidakpatuhan, tetapi kita melihat kepada isu jenayah, sekiranya berlaku dan di bawah bidang kuasa kita, kita akan jalankan siasatan," tambahnya.

Sebelum ini, LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan kelemahan dalam sistem kerajaan yang mengakibatkan  ketirisan dan pembaziran wang rakyat, yang membabitkan tiga kementerian dan empat agensi.