HULU SELANGOR: Keluhan mangsa pengusaha rumah inap Riverstone Eco Resort dan penduduk setempat di kawasan Sungai Tua, Ulu Yam yang terkesan dengan projek pembinaan terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mendapat reaksi pantas pihak berkenaan.

Sebaik sahaja diminta untuk mengulas persoalan yang berbangkit, pihak Malaysia Rail Link (MRL), tampil turun padang dan meninjau sendiri permasalahan yang telah disuarakan pihak terlibat.

Kedua-dua pihak juga telah bersemuka dan ruangan yang ada digunakan sebaik mungkin bagi meluahkan segala perasaan terpendam berhubung kebimbangan yang melanda.

Pertemuan kedua-dua pihak untuk membincangkan isu yang berbangkit.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak telah menyatakan persetujuan untuk memikul tanggungjawab penuh mengenai nasib mangsa yang terlibat.

Menurutnya, pihak MRL juga akan mengemukakan bayaran pampasan sebagai inisiatif untuk menimbal semula tanggungan kerugian yang dialami mangsa di kawasan terbabit.

“Kita ambil tanggungjawab atas aduan yang dibuat penduduk sekitar kawasan pembinaan ECRL khususnya di tapak Riverstone Eco Resort. Laluan utama yang terjejas kita akan buat penyelesaian yang terbaik supaya projek ini juga (ECRL) dapat berjalan dengan baik.

“Dari segi mereka yang terkesan akibat daripada pembinaan ini, kita akan selesaikan bayaran pampasan kepada penduduk yang terlibat atau tanah-tanah yang terlibat dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya kepada Astro AWANI.

MRL sedia bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami mangsa terlibat

Mengulas lanjut, Darwis turut memaklumkan, pihak terjejas juga mempunyai hak untuk membantah sekiranya nilai ganti rugi yang dikemukakan tidak dipersetujui mangsa yang terjejas.

Sebagai tindakan awal, pihak MRL juga telah melakukan penurapan semula laluan utama selaras dengan aduan yang telah diutarakan sebelum ini.

Kerja penurapan semula jalan yang rosak telah digerakkan.

Bercakap mengenai isu bekalan air bersih, pihak bertanggungjawab juga bersetuju supaya tangki bekalan air untuk ditempatkan di kawasan berkenaan sebagai inisiatif sementara sebelum pemulihan sepenuhnya dilaksanakan.

Ini termasuk juga penyeliaan di kawasan gondolan tanah yang ditutupi kanvas khas bagi mengurangkan risiko terhadap penduduk sekitar.

Laporan Khas | MRL pikul tanggungjawab penuh, sedia bayar ganti rugi

Astro AWANI pada Sabtu menerusi siri Laporan Khas telah membawakan keluhan mangsa di sekitar kawasan itu yang mengalami kerugian sejak kehadiran projek mega itu.

Kawasan yang dikatakan berisiko untuk berlaku insiden tanah runtuh.

Dakwa mereka, pelbagai kemusnahan yang berlaku sehingga terputus punca pendapatan selain perniagaan yang diusahakan juga berada di ambang penutupan.

Ini termasuk kebimbangan yang disuarakan pemilik tanah persendirian yang sememangnya bimbang dengan risiko kejadian tanah runtuh berhampiran pembangunan yang sedang dibangunkan.

BACA: [LAPORAN KHAS] Projek mega didakwa 'rogol' keindahan alam sekitar, pemilik rumah inap kerugian

Laporan Khas | Projek mega 'rogol' keindahan alam sekitar