SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) tidak membenarkan sebarang aktiviti pendakian di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini bermula esok (1 Dis) hingga 31 Jan 2022.

Menerusi notis yang dimuat naik dalam Facebook rasmi JPNS, Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata pelanggaran terhadap notis tersebut akan diambil mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Ahmad Fadzil ketika dihubungi berkata larangan tersebut dibuat bagi mengelakkan kecederaan atau kemalangan dalam kalangan pendaki pada musim tengkujuh ketika ini.

Orang ramai boleh menghubungi JPNS di talian 03-55447000/03-55447507 atau e-mel ke [email protected] untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA