Sejumlah 21,617 notis kompaun dikeluarkan selepas enam hari pelaksanaan larangan merokok di premis makanan.

Notis yang dikeluarkan adalah membabitkan pemeriksaan ke atas 36, 979 premis makanan di seluruh negara.

"Setahun kita jalankan kempen dan pendidikan ke arah larangan merokok, jadi kita harap semua pihak akan menghormati larangan ini.

"Kita tidak akan sebarangan mengeluarkan kompaun, itu pun masih ada rundingan dan saya harap semakin hari semakin kurang jumlah mereka yang dikompaun," kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau juga memaklumkan pihak Kementerian Kesihatan akan memantau secara berterusan kesan larangan merokok tersebut dengan pengurangan jumlah perokok di negara ini.

"Mungkin tak ada kaitan secara terus, tetapi kita akan adakan kajian perkaitan berkenaan hal ini. Beri kita sedikit masa," tambah beliau.

Dzulkefly berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran kempen Speak Out: Express Your Right di ibu negara, pada Selasa.

Kempen yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025 ini bertujuan mendidik dan memperkasa golongan bukan perokok menyuarakan hak mereka untuk mendapatkan persekitaran yang bebas asap rokok, terutamanya dalam menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka dengan berhemah.