KUALA KRAI: Keadaan air keruh di Lata Y adalah berpunca daripada keadaan iklim semasa iaitu hujan lebat yang kerap terjadi pada waktu petang sekali gus telah menghakis tebing sungai, menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) Abdul Khalim Abu Samah.

Abdul Khalim berkata hasil semakan dan siasatan JPNK keadaan air di Lata Y menjadi keruh secara amnya disebabkan berlakunya hujan lebat di bahagian atas kawasan berkenaan yang telah menghakis tebing sungai di bahagian atas kawasan itu di samping terdapat juga aktiviti perhutanan.

"Hasil semakan jabatan mendapati terdapat dua lesen aktif berhampiran Lata Y iaitu kelulusan projek pembangunan ladang hutan yang dianggarkan lebih kurang 1 kilometer (km) dan 1.2 km, malah semakan juga mendapati bahawa kedua-dua kawasan lesen ini telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai keadaan air keruh di Lata Y yang tular selepas dimuat naik di laman Facebook 'Kuala Krai Kini' pada 1 Jun lalu, menyatakan Air Terjun Lata Y Kuala Krai telah rosak akibat pembalakan di Hutan Simpan Sungai Rek, Kuala Krai Kelantan dan mendatangkan kemarahan ramai memandangkan kejernihan air di Lata Y yang kebiru-biruan telah bertukar menjadi seakan-akan 'teh beng' (teh ais).

Beliau berkata setelah semakan dilakukan pada Khamis lalu (3 Jun) pihaknya turut mendapati keadaan air di kawasan Lata Y telah semakin pulih daripada kekeruhan yang ditularkan sebelum ini dan pihak pelesen mematuhi syarat-syarat EIA.

"Semakan di kawasan lesen Syarikat Alyaras Resources Sdn Bhd mendapati pihak pelesen tidak melakukan sebarang tebangan pokok berhampiran kawasan zon penimbal (buffer zone) sungai seluas 50 meter malah mereka turut menambah seluas 10 meter lagi bagi menjaga kawasan buffer zone dengan tidak melakukan sebarang tebangan di kawasan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalim berkata JPNK telah mengambil tindakan berikutan perkara ini dengan mengarahkan pihak pelesen supaya memberhentikan kerja-kerja pengusahasilan bagi lesen-lesen aktif tersebut.

Katanya pelesen telah diarahkan supaya menanam pokok kekacang penutup bumi di bahagian tebing jalan yang terhakis bagi mengelakkan keadaan hakisan menjadi lebih teruk di masa akan datang.

"Jabatan juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengkaji semula untuk mewartakan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.

"JPNK juga bercadang mewartakan mana-mana kawasan sensitif di kawasan Hutan Simpanan Kekal Sungai Rek iaitu lokasi yang mudah tercemar disebabkan aktiviti perhutanan dijadikan sebagai kawasan tadahan air selain kawasan yang dijangka melibatkan kerosakan atau pencemaran diwarta sebagai Hutan Perlindungan atau sebagai Hutan Tadahan air," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi berkenaan mendapati keadaan air di Lata Y telah menjadi semakin jernih berbanding keadaan awal seperti gambar yang ditularkan di media sosial.

Penghulu Mukim Mengkebang, Abdullah Mustafa, 47, ketika ditemui berkata selain hujan lebat di lokasi berkenaan beliau turut mengakui kejadian air keruh di Lata Y itu juga sedikit sebanyak disebabkan aktiviti perhutanan.

"Apabila hujan, air dari tebing sungai di sekitar lokasi aktiviti perhutanan yang dijalankan ituakan turun ke bawah sekali gus menyebabkan air Lata Y itu menjadi keruh. Namun, pada kebiasaannya ia akan kembali pulih seperti sedia kala selepas cuaca baik.

"Saya berharap keindahan Lata Y ini dapat terus dijaga dengan baik oleh semua pihak," katanya.

-- BERNAMA