KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO diminta agar menghormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu, terutama membabitkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Mohd Neezam Abdul Aziz, berkata akar umbi tidak sepatutnya bertindak `lebih sudu daripada kuah' dalam menyuarakan pandangan berhubung PRU15.

“Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab.

“Di peringkat akar umbi, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah. Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu.

“UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. Justeru itu, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebaliknya, beliau meminta akar umbi menyuarakan pandangan menerusi saluran yang betul, dan menghormati keputusan antara pemimpin parti, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelaksanaan PRU15.

Beliau merujuk pada insiden sekumpulan penyokong serta jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) melaungkan 'bubar Parlimen' berulang kali sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergerak ke pentas utama di Ibu Pejabat UMNO Johor, pada Sabtu.

Mohd Neezam menyifatkan insiden itu sedikit mencalar kemenangan BN dalam PRN Johor dan menganggapnya sebagai tindakan tidak beradab terhadap Perdana Menteri.