KUALA LUMPUR : Tindakan pelawak asal Singapura, Jocelyn Chia yang memperlekeh dan menghina negara menerusi persembahan komedi berdirinya disifatkan sebagai melampau oleh netizen.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet. 

Menerusi video tular berdurasi satu minit 29 saat yang dimuat naik di laman sosial TikTok, pelawak itu menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Dalam tinjauan, ruangan komen di akaun rasmi TikTok milik pelawak itu dipenuhi dengan kata-kata tidak senang orang ramai yang menyifatkan bahawa lawak yang disampaikan tidak sensitif.

Sementara itu, waris kepada salah seorang mangsa MH370, Intan Maizura Othaman menerusi perkongsian di Facebook turut mengecam pelawak itu.

Katanya, Jocelyn seorang yang terdesak menggunakan isu-isu kontroversi untuk mendapat populariti, selain dengan sengaja menyinggung perasaan orang ramai.

"Cuba perhatikan, bahawa dia ketawa dengan gurauannya sendiri.

"Secara peribadi, saya melihat ini sebagai jeritan untuk meminta pertolongan daripada manusia yang terdesak," katanya.

Turut memberi respons ke atas tindakan melampau Jocelyn itu, pelawak terkenal Harith Iskander yang meminta agar dia lebih sensitif dan bersifat empati terutama dalam topik yang bersifat peribadi dan tragik.

Jelasnya, komedi mempunyai impak yang kuat terutama dalam meningkatkan kesedaran sosial, namun perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula akan menghantar notis kecaman dan bantahan di pejabat kedutaan Singapura di Kuala Lumpur.

Ujarnya tindakan ini bukan sahaja boleh mencemarkan hubungan antara dua hala malah dapat mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat di kedua-dua buah negara.

"Kita harus memastikan individu seperti Jocelyn Chia ini bertanggungjawab atas perkataannya. Jangan lagi kita bertolak ansur dalam hal yang membabitkan maruah negara," tegas beliau dalam perkongsian di Facebook hari ini.