LONDON: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima kunjungan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, di London sewaktu Baginda membuat Lawatan Khas ke United Kingdom.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kedua-dua pemimpin adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 dan 1979 dan persahabatan akrab mereka kekal hingga sekarang.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Fadil berkata, Agong dan Sheikh Mohammed telah menyentuh hubungan dua hala dan peningkatan kerjasama dalam beberapa bidang yang lain yang berkaitan di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates).

“Pada bulan Mac lalu, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC), yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Masdar, untuk meneruskan kerjasama merentasi rantaian nilai tenaga,” katanya lagi.

Kerjasama PETRONAS-ADNOC, jelas Ahmad Fadil lagi, merangkumi seluruh rantaian nilai minyak dan gas, yang mana ADNOC mengalu-alukan PETRONAS untuk mencari peluang kerjasama dalam penerokaan, pembangunan dan pengeluaran sumber konvensional dan bukan konvensional di Abu Dhabi.

Manakala, Memorandum Persefahaman antara PETRONAS dan Masdar, peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui pula, kata beliau lagi, melibatkan kedua-dua syarikat membina akses besar kepada penyelesaian tenaga bersih.

“Kejayaan PETRONAS memeterai kedua-dua Memorandum Persefahaman ini adalah berikutan Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi UAE pada Disember, 2020,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil turut berkata berkata, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan rasa puas hati terhadap Lawatan Khas ke United Kingdom, yang berakhir pada Ahad lalu.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa puas hati dan sukacita dapat bertemu diaspora Malaysia di negara berkenaan.

Kata Ahmad Fadil lagi, hal itu kerana ia merupakan peluang penting bagi Agong mengetahui kebajikan dan perkembangan rakyat, walau di mana mereka berada.

Untuk rekod, ini merupakan Lawatan Khas kedua Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom, sejak Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. 

“Sesi pertemuan diaspora Malaysia di United Kingdom telah dibahagikan kepada dua; yang pertama di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada 24 September, 2021 dan kedua di The Shire, London pada 26 September, 2021.

“Sesi di The Shire, London turut melibatkan kehadiran rakyat Malaysia yang berada di luar ibu kota London, termasuk dari Liverpool, Manchester dan Wales,” menurut kenyataan itu lagi.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bangga keupayaan syarikat milik rakyat Malaysia dan agensi Kerajaan Malaysia yang menjalankan urusan perniagaan serta pelaburan dan beroperasi di negara ini, tambah Ahmad Fadil.

Menerusi Lawatan Khas tersebut, beliau berkata, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford.

“Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar membabitkan usaha sama antara Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Sime Darby Property dan SP Setia Berhad sejak 2012.

“Manakala, TARRC adalah pusat penyelidikan dan penggalakan bagi Lembaga Getah Malaysia yang ditubuhkan pada 1938 dengan nama asal Persatuan Penyelidikan Pengeluar Getah Britain,” katanya lagi.

Seri Paduka Baginda dijadualkan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Sir General Nicholas Carter pada Rabu yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.