KUALA LUMPUR: Misi penggalakan pelaburan dan perdagangan serta lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sembilan buah negara dari Januari hingga Mac 2023 telah berjaya menarik potensi pelaburan dianggarkan berjumlah RM184.73 bilion serta potensi eksport bernilai RM3.22 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata negara yang dilawati Perdana Menteri dan delegasi kerajaan adalah Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi, Kemboja dan China.

"Misi utama yang digalas Perdana Menteri semasa lawatan antara lainnya adalah bagi meyakinkan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping memperkukuh, mendalami dan memperluas kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara yang telah dilawati.

"....terutamanya dalam sektor kebudayaan dan pelancongan ke arah menggalakkan perhubungan yang lebih akrab dalam kalangan rakyat dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan, serta memupuk persefahaman yang lebih jitu antara kedua-dua buah negara," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah kos yang dibelanjakan oleh kerajaan bagi lawatan Perdana Menteri ke negara luar dari Januari hingga Mac 2023 dan hasil pelaburan yang sebenar daripada lawatan tersebut.

Armizan berkata, lawatan rasmi dan persidangan antarabangsa itu merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di negara ini.

Antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi tersebut termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat.

Ketika lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang melibatkan kerjasama antaranya bagi pengeluaran cip untuk semi-konduktor termasuk pembukaan kilang di Negeri Sembilan dan di Arab Saudi serta aspek latihan kepada jemaah haji di 23 buah negara di rantau Asia dengan anggaran kos pelaburan berjumlah US$50 juta.

Manakala ketika lawatan rasmi ke Kemboja, Anwar menyaksikan dua MoU ditandatangani antara kerajaaan Malaysia dan Kemboja berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja domestik dan penghantaran pulang pekerja.

-- BERNAMA