KUALA LUMPUR: Tiada masalah untuk Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berjumpa mana-mana pemimpin di Malaysia termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad berkata, semuanya tidak menjadi isu asalkan pemimpin negara jiran tidak melanggar tatasusila hubungan kedua-dua negara.

Tambahnya, beliau menjangkakan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura akan terus memberi banyak manfaat kepada kedua-dua negara.

BACA: PM Ismail Sabri terima kunjungan hormat TPM Singapura di Putrajaya

“Kenyataan yang boleh timbulkan kemarahan rakyat Malaysia, tindakan yang boleh timbulkan kontroversi, jejas hubungan baik antara dua negara perlu dielakkan.

“Jadi siapa saja yang Timbalan Perdana Menteri (Lawrence) ingin jumpa, itu adalah hak mereka dan kerajaan Singapura tapi mereka perlu diingatkan bahawa apa juga tindakan, kenyataan mestilah berlandaskan semangat kejiranan, diplomasi yang terjalin antara kedua-dua negara.

“Jadi bagi saya ia amat penting kerana dengan adanya hubungan baik maka banyak perkara boleh setiap negara mendapat banyak faedah.

“Dalam masa sama pemimpin Singapura perlu menghormati budaya politik negara kita supaya apa juga tindakan tidak akan melanggar tatasusila terutama dari segi memastikan kestabilan politik dalam negara kita,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.

BACA: Kunjungan TPM Singapura Lawrence Wong satu pendekatan positif - Anwar

Selain Anwar, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin turut menerima kunjungan hormat daripada Lawrence di Perdana Putra yang menyaksikan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan akrab mereka.

Ini merupakan lawatan sulung Lawrence ke Malaysia selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu pada Jun 2022.

Lawrence tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi empat hari.

Pada pertemuan hampir sejam itu yang bermula pada 5.30 petang, Ismail Sabri mengucapkan tahniah kepada Lawrence atas pelantikan beliau dan kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Singapura termasuk dengan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Lawatan | Signifikan lawatan Lawrence Wong ke Malaysia

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan kunjungan Lawrence terhadap Anwar di bangunan Parlimen pada Isnin dianggap sebagai satu pendekatan yang sangat positif.

Jelas Anwar, inisiatif Lawrence untuk datang ke Malaysia untuk mengenali tokoh-tokoh di negara ini dari kalangan ahli politik dan golongan korporat menjadikan hubungan yang sedia terjalin selama ini akan lebih baik dan akrab.