BEKAS Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengakui kecewa apabila segala teguran dan pendiriannya mengenai tatacara perolehan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada pimpinan tertinggi sebelum ini tidak diendahkan.

Pendedahan itu dibuat Abdul Aziz seperti mana yang terdapat dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Khamis.

Menurut Abdul Aziz, teguran melalui surat rasmi itu diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri yang memegang jawatan pada ketika itu.

“Untuk makluman, saya telah majukan sekurang-kurangnya 10 surat teguran. Surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM kepada KSU sebanyak 10 surat, kepada Yang Berhormat Menteri lima surat, kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan satu surat, kepada Ketua Setiausaha Negara satu surat, dan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua surat.

“Jadi surat-suratnya telah pun di-archive (direkodkan). It was archived (ia telah direkodkan). We archived to ensure that it will be available for reference (kami rekod untuk pastikan ia boleh dijadikan sebagai rujukan).

“And I would not be blamed for the failure to perform in my job as the Chief of Navy (dan saya tidak akan dipersalahkan atas kegagalan untuk melaksanakan tugas saya sebagai Panglima Tentera Laut. Saya menjangkakan sebenarnya, untuk makluman.

“Ini kerana daripada awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan. Daripada awal lagi saya kata, ‘Something is gravely wrong’ (ada sesuatu yang tidak kena),” katanya menerusi jawapan yang dikongsikan PAC.

Tambahnya, sebelum ini beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka.

“Ini adalah peluang terbaik saya untuk memaklumkan bahawa saya telah mencatatkan kekecewaan terbesar saya kepada semua orang yang sepatutnya mendengar saya (melalui teguran yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Pada Khamis, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.

Kenyataan Abdul Aziz kepada PAC


Projek LCS | Kementerian Pertahanan, pemegang taruh teliti laporan PAC, syor


Laporan itu turut membangkitkan reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan tetapi keputusan itu telah berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

Jelas Kah Woh, pemilihan sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan negara seharusnya mengutamakan keperluan end user iaitu TLDM. - Sinar Harian


Projek LCS | Pembangkang gesa hentikan segera LCS 6