Lebih 1,000 madrasah persendirian masih belum melakukan saringan COVID-19, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, madrasah persendirian yang masih belum berbuat demikian agar berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jadi kita ada 370 madrasah dan 120 madrasah berkaitan dengan jemaah tabligh, di mana 120 itu telah dikunjung jemaah tabligh lebih lima kali. Lebih 1,000 madrasah persendirian belum tampil melakukan saringan. KKM menyeru pengurusan madrasah persendirian hubungi KKM supaya tindakan saringan dapat dijalankan.

"Ada pelajar yang duduk di madrasah kita boleh saring, yang telah pulang ke rumah kita akan kesan mereka dan kita akan turut saring keluarga mereka," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

KKM bimbang dengan musim perayaan ini, kepulangan pelajar madrasah berkenaan ke kampung dibimbangi menyebabkan penularan COVID-19.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti ziarah semasa sambutan hari raya Aidilfitri.

Ia berikutan kebimbangan terhadap warga emas yang terdedah dengan risiko paling tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

"KKM ingin menasihatkan mereka yang akan pulang ke kampung pastikan penjarakan sosial, cuci tangan, pakai topeng muka, elakkan perhimpunan. Kalau berhimpun antara keluarga juga boleh dijangkiti kerana ada sentuhan, salaman, ciuman yang boleh jangkitkan kepada mereka yang berusia, yang terdedah dan komplikasi boleh menjadi lebih dahsyat kepada mereka.

"Kalau boleh elakkan kunjung-mengunjung semasa berhari raya dan yang pasti dalam kalangan keluarga juga kita kena ambil langkah-langkah pencegahan dan memutuskan penularan jangkitan COVID-19 ini," ujar beliau.