KUCHING: Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 1,022 sekolah daif di seluruh Sarawak untuk dinaik taraf dan dibaik pulih, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dalam hal pendidikan terutama bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

"Apabila saya mendengar taklimat pembangunan Sarawak, saya dimaklumkan tentang rumah guru dan sekolah daif di Sarawak. Saya memanggil Menteri Kewangan untuk memastikan isu itu diselesaikan segera.

"Kita (kerajaan) akan sediakan peruntukan besar untuk pastikan sekolah daif itu dapat kita naik taraf, dibaik pulih atau dibina baru di seluruh Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini malam ini.

Sementara itu, mengenai pembangunan di Sarawak, Ismail Sabri berkata Kerajaan Pusat akan sentiasa memberi tumpuan kepada negeri ini.

Tambah beliau, sebagai contoh program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang melibatkan Sabah dan Sarawak akan memastikan semua kawasan luar bandar mendapat capaian internet tanpa gangguan.

"Kita tidak mahu seperti berlaku di Sabah sebelum ini yang mana ada yang kena naik pokok untuk dapat Internet. Jadi kita bagi peruntukan besar supaya capaian 5G dapat dicapai di Sabah dan Sarawak,” katanya.