Lebih 1,000 sertai majlis kesyukuran, doa selamat sempena pertabalan Sultan Perak

Bernama
Mei 3, 2015 15:37 MYT
Sultan Nazrin berkenan bersalaman dengan jemaah cilik ketika menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, di Masjid Ubuddiah Kuala Kangsar di Ipoh, malam ini. - Foto Bernama
Lebih 1,000 jemaah menghadiri majlis kesyukuran dan bacaan doa selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar malam ini.
Berangkat sama ke majlis itu Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan kerabat diraja Perak.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan tetamu kenamaan yang lain.
Majlis itu dimulakan dengan solat Maghrib diikuti bacaan tahlil dan Yasin dipimpin oleh Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengaminkan doa yang dipimpin oleh Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria (kanan) ketika Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 malam ini. - Foto Bernama
Selesai bacaan Yasin, baginda bersama-sama para jemaah menunaikan solat Isyak yang diimamkan Imam Masjid Ubudiah Helmi Ibrahim.
Baginda kemudian berkenan berangkat ke jamuan ringan sebelum berangkat pulang.
Majlis kesyukuran serupa turut diadakan di semua masjid, surau, institusi pengajian tinggi awam, maktab, kolej dan sekolah berasrama penuh di Perak.
Esok, Sultan Nazrin dijadual berangkat ke pameran koleksi gambar baginda yang berlangsung selama sebulan di Dewan Bandaran Ipoh anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Multimedia dan Jabatan Penerangan.
Selain itu baginda akan berangkat ke Pertandingan Akhir Pidato dan Penyampaian Hadiah Penulisan Esei yang diadakan bersempena istiadat pertabalan.
#Nazrin Muizzuddin Shah #Raja Jaafar Raja Muda Musa #Sultan Perak #Zambry Abdul Kadir