Lebih 1.1 juta isi rumah raih bantuan makanan JKM semasa PKP

Bernama
April 17, 2020 20:05 MYT
JKM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan agihan bantuan keperluan makanan itu melibatkan seramai 279,223 penerima yang terkesan dengan PKP. - Astro AWANI
Kira-kira 1.1 juta isi rumah seluruh negara mendapat manfaat daripada agihan bantuan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
JKM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan agihan bantuan keperluan makanan itu melibatkan seramai 279,223 penerima yang terkesan dengan PKP.
Selain itu, JKM menjelaskan bantuan itu merentasi semua daerah dan negeri termasuk kawasan yang didakwa telah dipinggirkan termasuk daerah Manjung, Kapit, Machang, Simpang Renggam, Port Dickson, Seremban serta Tampin.
"JKM mempunyai rekod senarai penerima semua bantuan yang telah diagihkan dan akan terus memantau senarai penerima berdasarkan aduan dan rujukan serta sekali gus bertanggungjawab melaporkan rekod keseluruhan senarai penerima termasuk alamat mereka kepada agensi pusat.
"Semua pihak termasuk Ahli Parlimen dialu-alukan mengemukakan aduan dan rujukan sekiranya dikenal pasti terdapat pihak yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang terputus pendapatan harian sepanjang tempoh PKP serta belum pernah menerima sebarang bantuan," menurut jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Sebarang aduan berkaitan boleh dikemukakan ke Bilik Gerakan JKM di talian 03-83231996.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #koronavirus #perintah kawalan pergerakan #PKP