KUCHING: Lebih 100 individu yang disahkan positif COVID-19 di Bintulu tidak dapat dihubungi pihak berkuasa kerana memberi maklumat palsu.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kes-kes yang dikesan positif dari 12 hingga 21 April itu sehingga kini gagal menjalani prosedur kuarantin dan rawatan.

Sehubungan itu, tegasnya, beliau memberi masa 24 jam kepada individu terbabit supaya hadir ke jabatan kecemasan Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

"Kegagalan berbuat demikian akan memaksa pihak polis melakukan serbuan dan tangkapan sekali gus diheret ke mahkamah," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

King Sing menjelaskan tindakan memberikan data dan maklumat palsu adalah tingkah laku yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat syarikat dan majikan yang memaksa pekerja mereka berbohong sekiranya ada positif COVID-19.

Tambahnya, tindakan itu bagi mengelak premis diarah tutup seperti ditetapkan garis panduan keselamatan COVID-19.

“Beberapa pasar raya telah dikenali kerana melakukan 'pakat' dengan pekerja mereka dengan menghapuskan rekod syif jika ada yang dijangkiti, mereka kemudian akan datang semula setelah individu itu pulih dan kembali bekerja. Ini sangat tidak bertanggungjawab dan harus diambil tindakan undang-undang.” jelasnya.

Pada Sabtu, Bintulu telah merekodkan sebanyak 128 kes iaitu tertinggi berbanding daerah lain di Sarawak manakala empat daripada lima kematian akibat COVID-19 juga telah direkodkan di daerah itu.