ALOR GAJAH: Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Melaka, melibatkan semua daerah di negeri ini.

Setakat jam 8 pagi ini, sebanyak 11 PPS dibuka - lapan di Alor Gajah, dua di Melaka Tengah, satu di Jasin - menempatkan 1,122 mangsa daripada 279 keluarga.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, situasi itu semakin memburuk berbanding hanya dua daerah yang terjejas setakat petang semalam - Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Jumlah mangsa tertinggi buat masa ini ialah di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Jelatang di Alor Gajah dengan 228 mangsa, diikuti PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka di Melaka Tengah (158 mangsa).

“Setakat ini, ramai lagi mangsa yang sedang diselamatkan oleh agensi bertugas dan angka dijangka meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Cuthbert berkata, bagi daerah Jasin, PPS yang baharu dibuka adalah di SK Parit Penghulu yang menempatkan 32 mangsa daripada enam buah keluarga.

PPS itu dibuka selepas tiga kampung iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya terjejas dengan bencana berkenaan.

Kawasan yang terjejas di daerah Alor Gajah ialah Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan dan Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Kampung Belimbing, Kampung Jeram, Kampung Pulau dan Kampung Telok Berembang.

Manakala di Melaka Tengah, kawasan yang terjejas ialah Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah dan Kampung Krubong.

Selain itu, hujan lebat berterusan juga menyebabkan beberapa PPS lagi dijangka dibuka susulan kawasan di sekitar Peringgit juga mula dinaiki air.