KUALA TERENGGANU: Lebih 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat Terengganu sempena Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 yang berlangsung selama dua hari bermula 3 April di Pusat Konvensyen Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu.

Inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah bagi mengurangkan kadar pengangguran, sekali gus menstabilkan pasaran buruh negara.

Menerusi karnival itu pelbagai jawatan ditawarkan seperti jurutera, pengurus jualan, peguam, doktor gigi, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, kru minyak dan gas, pembantu peribadi serta jawatan-jawatan yang ditawarkan menerusi program Mystep Perantis.

Selain itu karnival yang dianjurkan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, kemudahan kaunter penyediaan resume dan pelbagai lagi perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman rahman berkata, ia membabitkan 85 majikan daripada pelbagai sektor seperti minyak dan gas serta perladangan.

Justeru itu beliau menyeru kepada mereka yang meganggur untuk menukar persepsi atau sikap terlalu memilih kerja terutama sekali dalam ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Saya sangat mengharapkan rakyat negeri Terengganu mengambil peluang ini sebaik mungkin walaupun berada di ceruk negeri, datanglah ke Kuala Terengganu untuk merebut peluang yang kerajaan tawarkan.

"Selain itu kita pun telah berhubung dengan semua agensi di peringkat bawah termasuk IPKK untuk menwawarkan program ini  supaya rakyat bawahan dapat datang ke sini," katanya selepas merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 di Dewan Konvensyen Duyong Marina & Resort di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata menerusi penganjuran karnival ini sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Katanya sektor minyak dan gas menawarkan peluang pekerjaan terbanyak iaitu 3, 998 diikuti sektor perladangan dengan 2,500 jawatan kosong.

"Karnival penjana kerjaya secara besar-besaran buat julung kalinya di negeri ini telah mendapat sambutan menggalakkan dan memberangsakan daripada mereka yang mencari  khususnya dalam Negeri Terengganu ini.

"Majoriti mereka berusia berusia bawah 30 tahun kategori usia sedemikian graduan lepasan universiti ataupun mereka yang sedang menganggur di mana mereka layak mendapat manfaat daripada program perintisan dibawah penjana kerjaya," katanya.

Sementara itu beberapa graduan yang ditemui berkata Karnival penjana kerjaya ini membuka ruang dan peluang untuk mereka mendapat pekerjaan.

"Karnival ini sangat bagus kerana memberi peluang terutamanya pada rakyat Terengganu untuk mencari pekerjaan terutama dalam keadaan pandemik sekarang ini susah untuk mencari pekerjaan. Bila ada penganjuran karnival ini sekali gus memberi peluang kepada mereka merebut peluang keemasan ini.

"Program seperti ini sangat bagus kerana memberi peluang daripada syarikat-syarikat yang ada dan saya rasa kadar pengangguran juga akan berkuranglah dengan adanya karnival seperti ini," katanya lagi.