BUTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah al-Quran dan 2,060 bahan al-Quran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN bernilai RM160,000.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan tersebut dibuat di sebuah rumah pangsa yang dijadikan stor penyimpanan bahan itu di Taman Alma, Bukit Mertajam menerusi Ops Mulia pada 9 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kita dapati premis yang diperiksa tersebut telah melakukan aktiviti pengedaran al-Quran, penjualan al-Quran dan bahan al-Quran ini sebagai sumber pendapatan utama dan telah menjalankan aktiviti ini sejak tahun 2022 sehingga sekarang,” kata Nik Yusaimi dalam sidang akhbar di Pejabat KDN Pulau Pinang, di sini, pada Rabu.

Nik Yusaimi berkata, kitab-kitab suci yang dirampas itu dibimbangi kandungannya menyalahi sama ada dari segi ayat, baris dan boleh menyebabkan umat Islam salah membaca dan lari maksud.

Menurut beliau, naskhah-naskhah al-Quran yang dirampas itu didapati terdapat kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci al-Quran dalam tulisan rumi.

Selain itu, beliau berkata, siasatan juga mendapati kesemua al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Siasatan mendapati kesemua naskhah dan bahan al-Quran itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platfom dalam talian, infak dan diedarkan di seluruh negara.

“Edaran di seluruh negara dan mendapat tempahan biasanya dalam aplikasi dalam talian… saya boleh kata ia tetapi diedarkan berdasarkan pemintaan,” jelas Nik Yusaimi lagi.

Nik Yusaimi berkata, semua rampasan dibuat kerana ia melibatkan kesalahan Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Jelasnya, tujuan Ops Mulia ini dijalankan adalah bagi membanteras pengedaran dan penjualan al-Quran dan bahan al-Quran yang terdiri daripada pelbagai bentuk yang menyalahi Akta Pencetakan Teks Al-Qur'an (APTQ) 1986.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 912 jenis terbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN sebagai pilihan sama aada untuk dijual, dimiliki ataupun diedar dalam kalangan masyarakat.

Justeru, pihaknya menyeru masyarakat agar tidak memilih nashkah al-Quran yang tiada kelulusan dengan menyemak perakuan dan hologram KDN pada kitab itu.

“Masyarakat umum diseru agar tidak memilih naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dengan menyemak perakuan hologram KDN pada al-Quran terbabit… amalan membaca al-Quran tanpa semakan dan kelulusan dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat berkaitan sebutan bacaan dan maksud yg tidak tepat kerana tidak melalui proses semakan dan ditentusahkan betul oleh pakar,” tegas beliau lagi.