KUALA LUMPUR: Berbaki tiga hari sebelum Syawal berakhir, Dataran Merdeka di sini hari ini dibanjiri masyarakat berbilang bangsa dan agama yang hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri@Dataran Merdeka.

Program yang kali terakhir diadakan pada 2019 itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pemerhatian Astro AWANI mendapati lebih 20,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan Aidilfitri@Dataran Merdeka sejak seawal jam 9 pagi.

Menurut Jawi, penganjuran program tersebut sebagai usaha menjalin silaturahim dalam kalangan Keluarga Malaysia, khususnya masyarakat sekitar Wilayah Persekutuan.

Program yang dijadualkan sehingga jam 2 petang itu menyediakan 1,000 pek makanan pelbagai menu daripada 120 gerai masjid dan rakan strategik.

Ia termasuk 70 ekor kambing golek, ayam golek, nasi briyani serta hidangan tradisi seperti lemang dan ambuyat.

Hadir merasmikan Aidilfitri@Dataran Merdeka ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail.