KOTA BELUD: Lebih 200 kenderaan pacuan empat roda (4x4) dari seluruh Sabah menyertai program Kota Belud Off Road Challenge yang diadakan di Kampung Rosok Rantai dekat sini bermula semalam hingga esok.

Aktiviti sukan lasak kenderaan 4x4 itu merupakan anjuran kerjasama Rosok Offroad Club bersama Tiger Team Club dan para peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja datang dari daerah Kota Belud, tetapi juga dari Lahad Datu, Kota Kinabalu, Ranau, Tawau, Tuaran dan Kota Marudu.

Presiden Rosok Offroad Club Deuke Rais Jaujip berkata program yang bertemakan 'save our lifes' itu julung kali diadakan secara terbuka dan pelbagai acara turut diadakan termasuk program derma darah dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) antaranya mengagihkan bakul bantuan makanan.

"Program ini bukan sahaja bertujuan mengumpulkan peminat dan pemilik kenderaan 4x4, tetapi dilihat berupaya menjadi platform menggalakkan aktiviti pelancongan di sekitar Kota Belud yang sememangnya sudah terkenal dengan pelancongan luar bandar," katanya kepada Bernama di sini hari ini.



Majlis pelepasan peserta program itu disempurnakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Pintasan Fairuz Renddan.

Mengulas lanjut, Deuke berkata acara utama yang bakal menjadi tumpuan para peminat kenderaan 4x4 adalah 'Special Stages' (SS) yang disertai kira-kira 20 kenderaan yang mewakili kelab masing-masing.

"Acara SS dilaksanakan melalui beberapa pusingan dengan mengikut tahap kesukaran laluan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Ia memberi peluang kepada peminat sukan lasak pacuan empat roda menguji kemahiran dan ketangkasan pemanduan dalam pelbagai bentuk laluan mencabar dan mendebarkan.

"Kita menganggarkan lebih 1,000 pengunjung akan menghadiri program tiga hari ini. Orang ramai berpeluang melihat aksi-aksi lasak semasa saingan SS berlangsung. Kita lihat sukan permotoran semakin diminati dan berharap lebih ramai golongan belia menceburi sukan lasak ini," katanya.

Deuke berkata sukan lasak kenderaan 4X4 mempunyai peminatnya yang tersendiri di seluruh pelusuk negeri Sabah diyakini boleh membantu merancakkan perkembangan sosioekonomi masyarakat setempat, di samping menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

"Saya percaya penganjuran ini akan berjaya mempromosikan daerah Kota Belud sebagai satu daripada destinasi terbaik sukan lasak kenderaan 4x4 di Sabah," katanya.

-- BERNAMA