LEBIH 22,000 warga maya menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah dakwaan tindakan tatatertib ke atas seorang guru sekolah rendah di sebuah daerah di Selangor setakat jam 12 tengah hari ini.

Petisyen yang diwujudkan individu bernama Jamal Yunuh di laman web change.org bertajuk 'Petisyen Tuntut Keadilan Untuk Cikgu Fadli Salleh' itu mula mendapat sambutan sejak semalam.

Petisyen berkenaan mengajak orang ramai menyokong perjuangan seorang guru bernama Cikgu Fadli Salleh untuk mendapat keadilan dan memastikan negara menikmati sistem pendidikan yang seimbang.

Kredit: Twitter


Cikgu Mohd Fadhli Mohamed Salleh, yang merupakan pendidik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, mendakwa dirinya berdepan tindakan tatatertib oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan hantarannya di platform media sosial yang menyuarakan pandangan berhubung beberapa isu melibatkan sistem pendidikan negara.

Dia mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana 'mengkritik' isu melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dalam kenyataan pada Ahad bagaimanapun berkata, surat tersebut tidak bermaksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib, sebaliknya bertujuan memaklumkan Mohd Fadli berkenaan dakwaan yang diterima lembaga berkenaan.

Selain itu, menurut Pkharuddin, surat tersebut juga bertujuan memaklumkan keperluan Mohd Fadli mengemukakan representasi atau penjelasan bertulis.

Dalam perkembangan sama, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin memaklumkan menerusi akaun Facebooknya hasratnya untuk bertemu Cikgu Mohd Fadli.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh.

"Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa.” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Perkara ini turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berharap agar situasi menang-menang dapat dicapai.

Beliau turut berharap perkara positif dapat didengari selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Displin KPM yang bersidang pada Isnin.

Memahami KPM tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mana-mana kakitangannya membuat komen 'negatif' secara terbuka, namun pada masa sama, beliau berkata, sebarang tindakan atau hukuman yang ditentukan perlulah bersesuaian.