SHAH ALAM: Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) menyeru sokongan orang ramai dan syarikat tempatan untuk menyalurkan sumbangan menerusi kempen Musim Sejuk Siri ke-11 melibatkan tiga negara, iaitu Syria, Yaman dan Palestin.

Ikon Kemanusiaan Peduli Insan, Muhammad Hazamin Harun berkata, setiap sumbangan daripada kempen itu mampu mengurangkan kesengsaraan lebih 2.5 juta pelarian pada musim sejuk, selain membendung isu kesejukan dan kebuluran melampau sehingga boleh menyebabkan kematian.

Kata Muhammad Hazamin, sumbangan berkenaan turut membolehkan pihaknya menyalurkan bantuan berbentuk set pakaian musim sejuk, kotak makanan yang mengandungi makanan ruji pelarian, alat pemanas dan bahan bakar serta keperluan baik pulih khemah termasuk bantuan mengikut keadaan tertentu seperti kes kecemasan dan pendidikan.

“Saya percaya di luar sana banyak individu dan syarikat korporat yang mempunyai dana program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang tersendiri.

“Pastinya melalui Peduli Insan, kita boleh menyalurkan bantuan tersebut kepada penghuni-penghuni di kem pelarian di ketiga-tiga negara, sekali gus memberi impak yang lebih besar dalam membantu mereka di musim sejuk nanti,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Selasa.





Dalam pada itu, beliau menambah, kempen itu juga amat signifikan buat para pelarian di sana apabila kini bantuan yang diterima semakin berkurangan akibat pelbagai keadaan tidak menentu berlaku di seluruh dunia.

“Akhir-akhir ini, bantuan ke sana semakin berkurangan kerana dunia berdepan dengan pelbagai masalah melibatkan ekonomi, pandemik COVID-19 dan sebagainya.

“Banyak delegasi yang menghantar bantuan ke sana sudah mula menarik diri. Di sini perlunya kesedaran ini (menyalurkan bantuan) diteruskan kerana mereka di sana masih lagi diuji,” ujarnya.  

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman www.peduliinsan.org.