MELAKA TENGAH: Lebih 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Melaka sehingga pagi ini selepas lebih 2,500 penduduk terjejas dengan bencana berkenaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah itu melibatkan 656 keluarga di semua daerah di negeri ini.

Katanya, daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,391 mangsa yang melibatkan sembilan kawasan perumahan.

“Untuk daerah Alor Gajah, 10 PPS dibuka  sejak Jumaat malam lalu dan sehingga kini seramai 1,015 mangsa telah dipindahkan yang mana kawasan Durian Tunggal antara yang terbaharu terjejas teruk.

“Di Melaka Tengah pula, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong dan SK Batu Berendam 2 merekodkan mangsa teramai iaitu lebih 300 mangsa di setiap PPS,” katanya.

Menurut Cuthbert, daerah Jasin juga semakin memburuk susulan sebuah lagi PPS dibuka menjadikan tiga PPS keseluruhan setakat pagi ini.

PPS itu dibuka selepas sembilan kawasan penduduk terjejas iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya, Kampung Tasek dan Kampung Chinchin terjejas dengan bencana berkenaan.

Selain itu penduduk di kawasan Chohong dan Chenderah juga turut terjejas dengan bencana  itu.

Kawasan yang terjejas di daerah Alor Gajah iaitu di Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan dan Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Kampung Belimbing, Kampung Jeram, Kampung Pulau dan Kampung Telok Berembang.

Manakala di Melaka Tengah ialah di Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah dan Kampung Krubong.

Tinjauan Astro AWANI di sekitar Melaka bagaimanapun mendapati, tiada hujan sejak pagi tadi selain beberapa kawasan di sekitar Bandar Hilir terjejas susulan fenomena air pasang.