KUALA LUMPUR: Sejumlah 929,427 atau 26.2 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Menurut laman web COVIDNOW, sebanyak 1,553,175 atau 43.8 peratus daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,897,493 atau 93.1 peratus telah lengkap vaksinasi manakala 2,994,981 atau 96.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi golongan dewasa, sejumlah 16,043,079 atau 68.2 peratus telah menerima dos penggalak manakala 22,968,088 atau 97.6 peratus telah lengkap dua dos dan 23,244,086 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Semalam, sebanyak 26,584 dos telah diberikan melibatkan 7,266 dos pertama, 17,896 dos kedua dan 1,422 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,416,939.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak empat kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan dua kes dilaporkan di Selangor dan satu kes masing-masing di Kedah dan Perak.

-- BERNAMA