Lebih 28,000 sudah terima suntikan vaksin COVID-19 di Sabah

Bernama
Mac 15, 2021 20:06 MYT
Masidi berkata, sehingga kini 241,492 rakyat di Sabah telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Seramai 28,445 orang di Sabah telah menerima dos suntikan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech setakat semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Masidi yang juga Jurucakap COVID-19 bagi Kerajaan Sabah berkata 67.5 peratus daripada jumlah berkenaan adalah anggota barisan hadapan di Sabah.
"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menerima sebanyak 470 laporan kesan sampingan melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan melalui Sistem Maklumat Farmasi, namun kebanyakan laporan berkenaan kesan sampingan ringan, tidak membahayakan," katanya pada sidang media, di sini malam tadi.
Menurutnya sehingga kini 241,492 rakyat di Sabah telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri belum membenarkan aktiviti gelembung perjalanan (travel bubble) antara negeri yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan semula dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri Sabah apabila angka jangkitan telah benar-benar stabil," katanya.
-- BERNAMA
#vaksin #Masidi Manjun #suntikan pertama #COVID-19 #Sabah #Bahagian Regulatori Farmasi Negara #kesihatan #kerajaan #rakyat #gelembung perjalanan #Pfizer-BioNTech #barisan hadapan #kesan sampingan #MySejahtera #daftar