Lebih 3,000 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara sehingga 17 September lalu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 18 kes telah disiasat untuk diambil tindakan di mahkamah, dan 215 kes lagi dikenakan kompaun.

"15 kes juga telah dikeluarkan Notis Arahan dan 41 kes telah dikeluarkan Surat Arahan. Selain itu, sebanyak 18 kes pembakaran terbuka telah disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pembakaran terbuka itu melibatkan kawasan hutan, pertanian, industri, pembinaan, tapak pelupusan sampah, belukar dan pembakaran terbuka kecil.

Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan," tambahnya lagi.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

"Semua pihak dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," kata Wan Junaidi.

Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.